☆Tadabbur Kalamullah 24 Syawwal 1446H☆
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya" [Surah al-Mulk 2]
#Maka sesiapa yang berjaya melakukan, melaksanakan, serta menyediakan bekalan amal soleh yang terbaik semasa hidup nescaya beroleh kebahagiaan selepas meninggal dunia.
#Rasulullah saw bersabda:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ
"Jika sekiranya Allah swt menginginkan kebaikan terhadap hambaNya, maka Allah swt menjadikannya sentiasa melakukan amal kebaikan. Para sahabat r.hum bertanya: "Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?". Rasulullah saw bersabda: "Allah swt akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya" (HR at-Tirmizi)
#Bagi sesiapa yang terpedaya dengan hasutan dan kelalaian dunia, dia akan menyesal dengan penyesalan yang tidak berguna lagi selepas kematiannya. Antara yang akan berlaku hari pertama buat manusia yang ‘berpindah’ ke alam barzakh adalah mereka akan mengulang-ulang kata: "Wahai Allah, kembalikan aku hidup di dunia".
#Golongan yang lalai ini menyesal kerana tidak sempat beramal soleh ketika diberikan peluang oleh Allah swt ketika hayatnya di dunia. Perkara itu dijelaskan dalam firmanNya:
حَتَّىٰۤ إِذَا جَاۤءَ أَحَدَهُمُ ٱلۡمَوۡتُ قَالَ رَبِّ ٱرۡجِعُونِ
"Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia)" [Surah al-Muʾminūn 99]
#Jom hayati kisah betapa indahnya kematian orang alim, orang soleh dan orang yang telah bersedia mati dengan amal soleh yang dilakukan iaitu berkenaan kematian Imam Malik bin Anas rahimahullah:
Sebelum meninggal dunia, Imam Malik jatuh sakit selama dua puluh dua hari. Pada malam sebelum beliau menghembus nafasnya yang terakhir, secara kebetulan, Bakar Sulaiman al-Sawaf ada bersama mereka di dalam rumahnya. Mereka berkata: "Wahai Abu ‘Abdillah, bagaimana keadaanmu sekarang?" Beliau menjawab: "Aku tidak tahu apa yang aku hendak katakan kepada kamu, cuma aku ingin juga berkata: Adakah kamu semua akan ditentukan pada keesokan hari (hari Kiamat) mendapat kemaafan yang tidak diperhitungkan?".
Tidak beberapa lama selepas itu, Imam Malik pun mengucap dua kalimah syahadah dan berkata: "Kesemua perkara adalah bagi Allah, sama ada sebelumnya, mahupun selepasnya dan beliau menyerahkan rohnya kepada Allah Yang Maha Esa".
مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ
"Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga" (HR Abu Daud)
Imam Malik meninggal dunia di Madinah, iaitu pada 14 Rabiul Awal 179 Hijrah. Ada juga pendapat yang mengatakan, beliau meninggal dunia pada 11, 12, dan 13 Rejab. Sementara Mus’ab bin Abdullah al-Zubairi dan Imam al-Nawawi pula berpendapat, beliau meninggal dunia pada bulan Safar. Antara yang memandikan jenazah beliau adalah Ibn Kinanah dan Ibn Abi Zanbar. Manakala yang menuangkan air ke atas jenazah beliau pula adalah Anak beliau bernama Yahya dan jurutulis beliau bernama Habib. Dikatakan Imam bagi solat jenazah beliau adalah Raja ‘Abd al-‘Aziz bin Muhammad bin Ibrahim bin ‘Ali bin ‘Abdullah bin ‘Abbas. Imam Malik dikebumikan di tanah perkuburan Baqi’ dan kuburnya terletak di pintu masuk al-Baqi’. Semoga Allah swt meredhainya (Lihat: Tartib al-Madarik, Siyar A‘lam al-Nubala’ dan al-Tabaqat al-Kubra)
♡Hidup dan mati adalah ujian. Maka siapkanlah bekal amal soleh secukupnya♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment