☆Tadabbur Kalamullah 25 Syawwal 1446H☆
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ
"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan" [Surah an-Nahl 90]
#Syeikh as-Sa’di menyatakan bahawa berlaku adil itu adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat.(Lihat: Tafsir al-Sa’di)
#Allah swt berfirman lagi:
كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ
"Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan" [Surah an-Nisa’ 135]
#Berkata Imam Ibn ‘Asyur rahimahullah: "Ayat ini menghimpunkan kewajiban menegakkan keadilan, penyaksian dengannya, melaksanakannya kerana Allah dan penyaksian kerananya juga" (Lihat: Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir)
#Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah merealisasikan nas Ilahi ini dalam sistem pemerintahannya. Hasilnya, sebagai pemerintah yang adil, sudah pasti dikasihi Tuhan dan seluruh khalayak masyarakat dan rakyatnya.
#Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah memulakan pentadbirannya dengan meminta nasihat dan buah fikiran serta mutiara hikmah dari tokoh ulamak. Antaranya al-Hasan al-Basri, Salim bin Abdullah, Muhammad bin Ka’ab, Raja’ bin Haiwah, Ubaidullah bin Abdullah bin Utbah bin Mas’ud yang mereka semua adalah sadah at-tabi’in dan ulamak rabbani yang terkenal dengan kealiman, kewarakan, keikhlasan dan keberanian semata-mata takutkan Allah swt. Barisan ahli syura seperti ini yang sentiasa dipandu oleh ulamak rabbani menjadikan sebarang tindakan Khalifah Umar bin Abdul Aziz menepati syariat Islam.
#Waddah ibn Khaithamah berkata: "Apabila Khalifah Umar bin Abdul Aziz ditabalkan sebagai Khalifah, beliau memerintahkan saya untuk membebaskan semua tawanan yang dipenjarakan oleh pemerintah sebelumnya. Saya membebaskan mereka semua kecuali Yazid bin Abi Muslim" (Lihat: Zamm al-Baghy)
#Hal ini kerana semasa pemerintahan sebelum ini, ramai orang telah dihantar ke penjara kerana sistem yang bermasalah dan beberapa isu penindasan. Atas sebab ini, Khalifah Umar bin Abdul Aziz membebaskan tawanan dan memberi mereka pengampunan.
#Selain itu, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengarahkan pegawainya untuk membatalkan beberapa keputusan yang dibuat oleh al-Hajjaj kepada orang Islam dan orang bukan Islam. ‘Ali bin Abi Hamlah berkata: "Kami orang-orang bukan Arab di Damsyik telah mengadu kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkenaan sebuah gereja yang telah dirampas oleh seorang individu dalam kalangan pemerintah (yang kemudiannya diberikan kepada Bani Nasr di Damsyik). Kemudiannya Khalifah Umar mengusir mereka daripada gereja dan mengembalikannya kepada orang Kristian (Lihat: Futuh al-Bulan)
#Diriwayatkan seorang gabenor telah dihantar ke Khurasan dan orang ramai berada dalam keadaan yang sangat teruk dan dia merasakan bahawa hanya pedang dan cambuk sahaja yang boleh memperbaikinya dan dia meminta izin kepada Khalifah Umar untuk berbuat demikian. Khalifah Umar memberitahunya bahawa dia menerima suratnya dan hanya keadilan dan kebenaran yang akan membetulkan mereka dan itulah yang harus dia gunakan kepada mereka (bukannya cambuk dan pedang) (Lihat: Tarikh al-Khulafa)
#Khalifah Umar bin Abdul Aziz pada hakikatnya telah melaksanakan perintah Allah dan NabiNya saw dengan cemerlang dan berjaya melalui kesungguhannya menegakkan keadilan dan kebenaran. Ini dapat diukur dengan kejayaan yang dimilikinya, walaupun hanya pemerintahan beliau tidak sampai dua tahun setengah.
♡Pastikan setiap orang yang menjadi pemimpin serta yang diamanahkan memegang sesuatu jawatan, melaksanakan dengan penuh keadilan dan berpaksikan kebenaran. Contohilah gaya pemerintahan Rasulullah saw, para sahabat dan para tabien dalam pemerintahan di zaman kini♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment