☆Tadabbur Kalamullah 26 Syawwal 1446H☆
وَثِیَابَكَ فَطَهِّرۡ
"Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan" [Surah al-Muddaththir 4]
#Sebagai pendakwah dan orang beriman, kita dituntut untuk sentiasa memakai pakaian yang bersih dan indah.
#Dikisahkan bahawa Imam Malik bin Anas rahimahullah adalah seorang yang tinggi serta lebar tubuh badannya. Warna kulitnya putih, berdahi luas, manakala hidungnya tinggi serta menarik perhatian bagi mereka yang memandangnya. Antara perkara menarik tentang beliau ialah kegemarannya pada pakaian yang baik dan elok, seperti pakaian yang diperbuat dari Aden.
#Imam Malik sangat mengambil berat tentang soal berpakaian. Beliau menganggapnya sebagai penghormatan terhadap ilmu dan martabat seorang ulamak. Beliau mengatakan bahawa maruah seorang ulamak adalah dengan memilih pakaian yang indah untuk dipakai dan ditampilkan. Oleh yang demikian, tidak sepatutnya mata lihat melainkan dengan melihatnya dengan pakaian lengkap, termasuk serban yang baik. Beliau selalu memakai pakaian terbaik, termahal, dan paling indah, seperti pakaian dari Yaman yang berkualiti tinggi, pakaian dari Khurasan, dan pakaian Mesir yang bermutu tinggi. (Lihat: al-Imam Malik bin Anas Imam Dar al-Hijrah)
#Firman Allah swt:
یَـٰبَنِیۤ ءَادَمَ قَدۡ أَنزَلۡنَا عَلَیۡكُمۡ لِبَاسࣰا یُوَ ٰرِی سَوۡءَ ٰ تِكُمۡ وَرِیشࣰاۖ وَلِبَاسُ ٱلتَّقۡوَىٰ ذَ ٰلِكَ خَیۡرࣱۚ ذَ ٰلِكَ مِنۡ ءَایَـٰتِ ٱللَّهِ لَعَلَّهُمۡ یَذَّكَّرُونَ
"Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)" [Surah al-Aʿrāf 26]
#Islam meraikan kecantikan bahkan menuntut manusia untuk memperlihatkan diri mereka dalam keadaan yang cantik dalam masa yang sama sunyi daripada sifat riak dan takabbur. Ia dianggap sebagai memperlihatkan nikmat yang diberikan oleh Allah swt ke atas dirinya.
#Justeru, apa yang ingin diperlihatkan adalah nikmat Allah swt bukan untuk kebanggaan diri mereka. Apa yang diperlihatkan tersebut merupakan sebagai salah satu tindakan mensyukuri nikmat Allah swt dengan menggunakannya pada landasan yang betul.
#Daripada Sayidina Abdullah Ibnu Umar r.huma berkata, Rasulullah saw bersabda:
إن الله يحب أن يُرَى أثرُ نعمته على عبده
"Sesungguhnya Allah menyukai untuk melihat kesan nikmat-Nya ada pada hambaNya" (HR al-Hakim dan at-Tirmizi)
#Rasulullah saw menggalakkan umatnya untuk memakai pakaian yang baru dan terbaik terutama pada hari-hari kebesaran Islam yang menjadi kegembiraan bagi umat Islam sendiri. Justeru penampilan yang cantik dan terbaik menjadi salah satu tanda kegembiraan yang dizahirkan dalam menyambut hari-hari tersebut.
#Para lelaki yang keluar menunaikan solat Jumaat digalakkan memakai pakaian yang berwarna putih kerana ia melambangkan kesucian dan mengingatkan manusia kepada kain kafan yang menjadi simbolik mengingati kematian.
#Diriwayatkan oleh Sayidina Ibnu Abbas bahawa Rasulullah saw bersabda:
البسوا من ثيابكم البياض فإنها من خير ثيابكم وكفنوا فيها موتاك
"Pakailah pakaian yang berwarna putih, sesungguhnya pakaian yang berwarna putih adalah sebaik-baik pakaian dan gunakanlah pakaian yang berwarna putih apabila mengkafankan jenazah kamu (orang Islam)" (HR Abu Daud dan at-Tirmizi)
♡Berpakaianlah dengan pakaian yang bersih dan indah serta menutup aurat. Yang penting jangan membazir, bermegah dan riyak. Pakaian terbaik ialah pakaian taqwa♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment