Saturday, 26 April 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 28 Syawwal 1446H☆


إِنَّ هَٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ


"Sesungguhnya ini adalah umat kamu umat yang satu dan Aku adalah tuhan kamu maka beribadahlah (kepada-Ku)" [Surah al-Anbiya’ 92] 


#Sayidina Ibn Abbas r.huma dan anak-anak muridnya seperti Imam Mujahid dan Imam Sa’id bin Jubair dalam menafsirkan ayat ini mereka berkata: "Agama kamu adalah agama yang satu" .


#Imam Hasan al-Basri pula berkata: "Maksudnya adalah Sunnah kamu adalah sunnah yang satu". (Lihat: Tafsir al-Quran al-Azhim)


#Syeikh Abdul Rahman as-Sa’di pula menafsirkan ayat tersebut dengan katanya: "Kesemua mereka (iaitu para Rasul) berada di atas agama yang satu, jalan yang satu, serta Tuhan yang satu". (Lihat: Taisir Karim al-Rahman, As-Sa’di) 


#Begitu juga terdapat sebuah hadis yang menggambarkan keutuhan dan kekukuhan persaudaraan sesama umat Islam yang diriwayatkan oleh Sayidina Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah saw bersabda:


مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى


"Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam" (HR Ahmad, al-Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasa'ie) 


#Ayat ini menyeru seluruh umat Islam untuk bersatu dan juga merapatkan saf di bawah lembayung Islam sebagaimana yang disebutkan oleh al-Kitab dan as-Sunnah serta menyelusuri manhaj salaf al-ummah.


#Dinukilkan di sini sebuah kisah daripada Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti katanya: 


"Di sebuah taman, terdapat pelbagai pohon kayu, ada yang besar dan ada yang kecil. Mereka hidup dalam keadaan yang bersuka ria. Tiba-tiba, pada suatu hari, jatuh sebilah mata kapak menyebabkan semua pohon kayu menangis dan berada dalam ketakutan. Ini kerana sudah pasti mereka semua akan ditebang. Akhirnya, mereka bertemu dengan pohon yang paling tua dan mengadu akan hal tersebut. Lantas pohon tua yang mempunyai banyak pengalaman itu berkata: "Jangan takut dan jangan menangis. Sesungguhnya mata kapak tidak boleh menebang kamu selama kamu tidak memberikan kepadanya dahan-dahan kamu untuk dijadikan hulu kapak". 


#Itulah mesej yang jelas betapa perlunya kesatuan ummah ditegakkan terutamanya kesatuan hati atau rabitah al-qulub.


#Realiti sebenar perpaduan ummah pada hari ini sangat menyedihkan, mengecewakan dan memalukan. Perpecahan ummah di seluruh dunia berada pada tahap yang sangat kritikal dan kronik. Oleh sebab itulah, umat Islam dipandang hina, rendah dan mundur. Sewajarnya kita mengambil kecaknaan dan keprihatinan bersungguh-sungguh agar sifat berpecah belah yang menjadi virus dalam masyarakat dapat dihapuskan dengan digantikan sebuah masyarakat yang mempunyai kasih sayang dan membina tamadun. 


♡Melihat kepada senario perpecahan umat yang berlaku di dunia pada masa kini, maka menjadi wajib bagi kita mencari jalan penyelesaian yang paling berkesan dengan sesegera mungkin supaya umat Islam dan agama Islam kembali cemerlang dan berada pada kemuncak keagungannya. Bersatulah wahai umat Islam!!♡


🐊Ust Naim

*Telegram Channel*

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


*Facebook Page:*

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...