Sunday, 27 April 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 29 Syawwal 1446H☆


إِن یَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحࣱ فَقَدۡ مَسَّ ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحࣱ مِّثۡلُهُۥۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَیَّامُ نُدَاوِلُهَا بَیۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِیَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَیَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُهَدَاۤءَۗ وَٱللَّهُ لَا یُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِینَ * وَلِیُمَحِّصَ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَیَمۡحَقَ ٱلۡكَـٰفِرِینَ 


"Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir" [Surah Āli-ʿImrān 140-141]


#Imam Ar-Razi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa proses pergiliran ini (at-Tadawul) ini bukan bermaksud Allah memenangkan orang-orang Kafir tetapi pergiliran ini menunjukkan bahawa Allah memberikan ujian dahsyat ke atas orang-orang kafir dan kadang-kadang ke atas orang yang beriman.


#Ketahuilah, jalan dakwah dan jalan perjuangan adalah jalan yang panjang dan sukar, payah dan memenatkan. Namun ini adalah yang paling athbat (kukuh), tulen dan terjamin. Jalan perjuangan menegak dan menyebarkan kebenaran ini tidak dihampiri dengan permaidani merah, ditaburi bunga-bunga tetapi sarat dengan mehnah dan halangan.


#Setiap amal dijalan dakwah dan perjuangan memerlukan pengorbanan dan keringat. Semakin sukar dan sulit jalan dakwah dan perjuangan ini, maka semakin perlu setiap para pejuang kepada usaha yang lebih besar di segi persiapan dan latihan untuk mengharungi beban amal tersebut. Sedangkan amal untuk agama Allah sentiasa berterusan, pelbagai bentuk dan luas medannya.


#Berdakwah dan berjuang dijalan Allah tidak tertentu pada satu cara sahaja. Ia bergantung kepada perisian dakwah. Maka ia menggunakan 1001 kaedah dan method. Tugas dan tanggungjawab yang dipikul para pejuang sentiasa bertambah sehari demi sehari. Tanggungjawab para pejuang semakin hari semakin besar dan semakin mencabar. 


#Lantaran itu, Allah swt menjadikan ujian dalam perjuangan untuk menguji ketulenan jiwa para pejuang. Perjuangan dan dakwah menegakkan agama Allah tidak akan berjaya mencapai visi dan misi perjuangannya melainkan setelah melalui fasa ujian dan cubaan.


#Diriwayatkan daripada Sayidina Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: "Perumpamaan seorang Mukmin adalah seperti satu tanaman yang tumbuh dan tidak lekang berdepan angin yang menggoyangkannya, dan sentiasalah seorang Mukmin itu ditimpa dengan ujian. Sedangkan orang Munafik pula umpama satu pokok padi yang tidak bergoyang melainkan setelah dituai dan dikumpul hasilnya.." (HR Muslim) 


#Sirah perjuangan telah menunjukkan bahawa Rasulullah saw dan para sahabat r.anhum telah melalui fasa-fasa ini sebelum mengecapi kemenangan dalam perjuangan. Hakikatnya ujian adalah batu bata perjuangan yang mesti ditempuh dan dirempuh sebagai satu sunnah perjuangan dan dakwah.


#Ujian perjuangan juga untuk menilai sejauh mana keikhlasan seseorang dalam perjuangannya. Imam ar-Razi rahimahullah berkata:


"Sesungguhnya keikhlasan seseorang insan dilihat ketika berada dalam keadaan ujian (ditimpa bala), dia lebih banyak kembali mengadu kepada Allahnya berbanding ketika menerima habuan dunia". 


♡Perjuangan untuk mendaulatkan agama Allah dipenuhi dengan ujian, dugaan, halangan, kekalahan, kemenangan dan 1001 kepayahan. Namun, ketahuilah ganjaran besar di syurga kelak bakal diperoleh para pejuang yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam perjuangan dan dakwahnya♡


🐊Ust Naim

*Telegram Channel*

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Doa Apabila Sakit  عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: أَنَّهُ...