Bekas Mufti Wilayah Persekutuan perkenal pegawai syariah AI
SHAH ALAM- Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memperkenalkan dua watak digital baharu yang berperanan sebagai Pegawai Pintar Syariah (PPS) di bawah platform Maktabah Al-Bakri.
Zulkifli berkata, kedua-dua pembantu kecerdasan buatan (AI) itu dinamakan AI Dr Munir dan AI Dr Munirah.Menurut beliau, watak AI Dr Munir dan AI Dr Munirah dibangunkan hasil kerjasama ChatGPT Plus (dibangunkan oleh OpenAI) dan Hedra Studio yang berfungsi sebagai pembangun persona tersuai dengan sentuhan tempatan dan pastinya patuh syariah.
"Kedua-duanya berperanan dalam merumuskan jawapan kepada lebih 9,000 persoalan-persoalan berkaitan hukum semasa, fatwa kontemporari dan isu fiqh masyarakat yang ada dalam pangkalan data aplikasi Al-Inarah.
"Jangan risau kerana mereka telah diprogramkan untuk mesra media sosial. Jawapan mereka juga adalah berdasarkan pendirian saya terkait isu dalam hal ehwal agama," katanya menerusi laman Facebook pada Jumaat.
Beliau turut berkongsi pautan video TikTok bagi episod pertama di Maktabah Al-Bakri.
Tambah Zulkifli, usaha itu baharu sahaja permulaan dan akan ada lebih banyak lagi kejutan.
"Ini baru permulaan. Nantikan lebih banyak kejutan. Ikuti episod pertama bersama AI Dr. Munirah, 'Hukum Isteri Mengidam Makan Pelik-Pelik: Suami Wajib Tunaikan?'," ujarnya.
Dalam pada itu, menerusi episod pertama di Maktabah Al-Bakri, AI Dr Munirah menjelaskan, suami wajib menunaikan permintaan isteri yang mengidam selagi perkara itu halal dan tidak memudaratkan.
Tambah AI Dr Munirah, dalam kitab Hasyiyah Al-Bujairimi disebut wajib bagi suami penuhi permintaan isteri mengidam apatah lagi jika makanan itu memberi khasiat dan nutrien kepada ibu dan anak.
"Hari ni saya nak jawab satu soalan yang ramai para suami tertanya-tanya apa hukum isteri mengidam benda pelik-pelik ketika mengandung.
"Mengidam ini sebenarnya normal, kadang-kadang isteri nak buah durian tengah malam, kadang-kadang teringin bau tanah selepas hujan dan sebagainya.
"Ini dianggap sebagai nafkah makanan yang memang menjadi kebiasaan isteri dan apabila isteri mengidam ketika hamil maka wajib suami tunaikan," ujarnya.
Jelasnya, bagaimanapun suami tidak diwajibkan memenuhi keinginan isteri sekiranya makanan yang diidamkan itu di luar kemampuan suami dan makanan haram.
"Misalnya arak, daging khinzir atau nak pegang lelaki ajnabi selain hal memudaratkan macam (nak makan) sabun," katanya.
Sebelum ini, terdapat beberapa agensi lain yang turut menggunakan AI untuk menjawab pertanyaan dan memberikan informasi antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
No comments:
Post a Comment