Friday, 30 May 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 3 Zulhijjah 1446H☆


وَلَیَالٍ عَشۡرࣲ 


"Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)" [Surah al-Fajr 2]


#Menurut Sayidina Ibn Abbas r.huma, Sayidina Abdullah bin az-Zubair r.a, Imam Mujahid dan ramai di kalangan ulamak salaf dan khalaf bahawa yang dimaksudkan dengan sepuluh malam dalam ayat ini ialah sepuluh hari awal Zulhijjah (Lihat: Tafsir Ibn Kathir)


#Allah swt hanya bersumpah dengan sesuatu yang agung. Apabila Allah bersumpah dengan sepuluh hari Zulhijjah tersebut, pasti hari-hari ini adalah hari-hari yang mulia di sisi Allah swt dan memiliki kelebihan yang luar biasa.


#10 hari pertama Zulhijjah adalah sangat istimewa di sisi Allah swt. Amat malang kerana masih ramai di kalangan kita tidak menyedari akan kelebihan 10 awal Zulhijjah ini. Bahkan, ramai yang menyangkakan bahawa ibadah pada bulan Zuhijjah hanya berkisar ibadah haji dan korban semata-mata, menyebabkan hari-hari ini dibiarkan berlalu begitu sahaja.


#Antara hari-hari yang dihidupkan oleh Salafussoleh ialah 10 Awal Zulhijjah. 


كانوا يعظمون (أي السلف) ثلاث عشرات: العشر الأخير من رمضان والعشر الأول من ذي الحجة والعشر الأول من محرم


"Sesungguhnya golongan salafussoleh ini akan paling menghidupkan tiga jenis sepuluh iaitu: 

1. Sepuluh hari akhir Ramadhan

2. Sepuluh hari pertama Zulhijjah dan

3. Sepuluh hari pertama Muharam (Lihat: Lataif al-Maarif, Imam Ibnu Rejab)


#Sabda Rasulullah saw:


ما من أيَّامٍ العملُ الصَّالحُ فيهنَّ أحبُّ إلى اللهِ من هذه الأيَّامِ العشرِ. قالوا: يا رسولَ اللهِ ولا الجهادُ في سبيلِ اللهِ؟ فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: ولا الجهادُ في سبيلِ اللهِ إلَّا رجل خرج بنفسِه ومالِه فلم يرجِعْ من ذلك بشيءٍ


"Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijjah". Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda: "Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali" (HR al-Bukhari, Abu Daud, Ibn Majah, al-Tirmizi)


#Menurut Imam Ibn Hajar rahimahullah:


والذي يظهر أن السبب في امتياز عشر ذي الحجة لمكان اجتماع أمهات العبادة فيه ، وهي الصلاة والصيام والصدقة والحج ، ولا يتأتى ذلك في غيره


"Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih utama dari yang lain kerana 10 hari ini menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain" (Lihat: Fathul Bari)


♡Bersempena kita berada di bulan Zulhijjah, jom gandakan amalan soleh merangkumi segala perkara baik yang disukai Allah seperti solat, puasa, sedekah, membaca al-Quran, zikir, berselawat, berdoa, tolong-menolong, menuntut ilmu, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang susah dan sebagainya♡


🐊Ust Naim

*Telegram Channel*

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


*Facebook Page:*

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Doa Apabila Sakit  عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: أَنَّهُ...