☆Tadabbur Kalamullah 17 Zulkaedah 1446H☆
وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ
"Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak" [Surah Ibrahim 42]
#Allah swt memberi satu peringatan kepada sesiapa yang berlaku zalim, apabila mereka bertindak menyalahi keadaan yang sebenar atau meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya yang sebenar nescaya mereka akan dibalas dengan azab yang teramat dahsyat.
#Dalam percaturan politik hari ini, para pemimpin dan politikus, sama ada yang jelas terpalit dengan korupsi atau tidak, yang jelas zalim dan menyalah guna kuasa sedang bersungguh-sungguh merebut atau mempertahankan jawatan masing-masing. Para pemimpin ini, walaupun ramai yang zalim dan telah terbukti korup, dan sudah tidak layak untuk dijadikan pemimpin, namun ternyata mereka masih lagi mampu bertahan di takhta mereka dan juga dalam arena politik.
#Sebahagian daripada mereka mencuri berbilion-bilion duit rakyat, mereka hidup dalam kemewahan yang luar biasa, mereka angkuh dan sombong, mereka mementingkan diri sendiri serta kroni, mereka menzalimi rakyat, mereka bermuka-muka, tidak berprinsip, tidak pernah tetap pendirian, melompat ke sana ke mari mengikut di mana adanya kepentingan, kredibiliti mereka di tahap yang paling buruk, akhlak dan harga diri mereka juga sangat rendah, mereka tidak pernah menerapkan Islam, dan banyak lagi keburukan lainnya yang mereka lakukan, namun mereka tetap dapat bertahan sehingga kini. Mengapakah hal ini boleh terjadi?
#Dalam sejarah dunia, memang terdapat ramai pemimpin yang zalim dan korup, dan mereka dapat mempertahankan kuasa mereka dengan sangat lama. Siapa tidak kenal Firaun, yang walaupun zalim, namun ia berkuasa di Mesir sejak Nabi Musa lahir lagi sehinggalah Allah swt membinasakannya melalui tangan Nabi Musa setelah dewasa. Jadi, tidak hairanlah apabila sebahagian pemimpin zaman kini digelar sebagai Firaun Moden, kerana kezaliman diktator mereka, dan mereka tetap memerintah negara dengan sangat lama.
#Kebanyakan pemimpin zalim ini mampu bertahan lama walaupun dibenci oleh rakyat adalah kerana mereka menggunakan segala kekuasaan dan kekuatan mereka, termasuk menggunakan seluruh agensi kerajaan, yang taat secara membabi buta kepada mereka, untuk menghapuskan siapa sahaja yang melawan mereka. Mereka menggunakan undang-undang zalim yang mereka gubal, dalam rangka menyekat rakyat dan menutup mulut pengkritik-pengkritik mereka. Memandangkan kesemua agensi kerajaan berada di bawah cengkaman dan telunjuk mereka, ramai dalam kalangan rakyat terpaksa pasrah dan hanya segelintir sahaja yang berani mempertaruhkan nyawa untuk memuhasabah mereka, yang selalunya berakhir di tirai besi atau di tali gantung.
#Selain itu, mereka boleh terus berkuasa kerana adanya ulamak yang mendukung mereka. Pemimpin zalim dan korup ini biasanya mempunyai menteri agama, penasihat agama dan ramai lagi golongan agamawan yang berada di sekeliling mereka. Tidak ada tujuan untuk pemimpin ini melantik mereka kecuali untuk menghalalkan segala tindakan haram mereka, dan untuk memperindah segala polisi dan keburukan mereka. Para ulamak ini adalah terdiri daripada mereka yang mencintai dunia, sebab itulah mereka sanggup untuk bersekongkol dengan pemimpin yang zalim lagi korup ini.
#Ingatlah, akibat yang buruk pasti akan menimpa ke atas orang-orang yang zalim dan sesiapa yang menolong kezaliman dan sesiapa yang hatinya cenderung ke arah kezaliman.
وَسَيَعۡلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَيَّ مُنقَلَبٖ يَنقَلِبُون
"Dan orang-orang yang zalim itu, kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali (ke neraka)" [Surah as-Shu‘ara’ 227]
♡Katakan tidak kepada kezaliman dan jangan sesekali menjadi orang yang zalim. Besar penyesalan di mahsyar kelak♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment