☆Tadabbur Kalamullah 18 Zulkaedah 1446H☆
ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ
"Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik" [Surah al-Baqarah 229]
#Talak bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.
#Talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas), sekalipun tanpa niat, dan secara kinayah (kiasan) jika disertakan dengan niat. Tiada pengecualian di dalam Syarak jika talak berkenaan disebut ketika waktu normal, bergaduh mahupun bergurau.
#Talak satu dan dua, boleh dirujuk semula. Namun jika talak tiga (samada sekaligus atau tiga kali talak yang berasingan) maka jadilah talak bain kubra maka tidak boleh dirujuk semula lagi.
#Sesiapa yang terlibat dalam kes talak tiga maka tidak halal baginya berkahwin semula dengan bekas isterinya kecuali jika bekas isterinya berkahwin dengan lelaki lain dengan akad yang sah dan telah melakukan hubungan jimak bersama suami barunya, kemudian dia bercerai dan tamat iddahnya, maka selepas daripada itu, bekas suaminya boleh bernikah semula dengan akad yang baru bersama bekas isterinya.
#Ini adalah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt:
فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يَتَرَاجَعَا إِن ظَنَّا أَن يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ
Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis iddahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah swt" [Surah al-Baqarah 230]
#Hak nafkah terhadap isteri yang diceraikan adalah bergantung kepada kedudukan talak itu sendiri iaitu sama ada iddah talak raj’i (yang boleh dirujuk) atau iddah talak ba’in (yang tidak boleh dirujuk). Bagi isteri yang berada dalam idah talak raj’i berhak mendapat semua nafkah sebagaimana nafkah yang diterima sewaktu dalam perkahwinan. Namun, sekiranya isteri itu diceraikan dengan sebab nusyuz, maka dia tidak layak untuk mendapat nafkah dalam tempoh iddah tersebut. (Lihat: Minhaj al-Talibin dan Fath al-Mu’in)
#Manakala, perempuan yang berada dalam idah talak ba’in dan mengandung, berhak mendapat nafkah perbelanjaan termasuk tempat tinggal. Syeikh Zainuddin ada menyebut:
وتجب النفقة أيضا لمطلقة حامل بائن بالطلاق الثلاث
"Nafkah juga wajib diberikan kepada wanita yang mengandung (yang telah diceraikan) dengan talak tiga" (Lihat: Fath al-Mu’in)
#Namun, wanita yang diceraikan dengan talak ba’in wajib diberikan tempat kediaman dan tidak wajib diberi nafkah dan segala bentuk perbelanjaan. Perkara ini dijelaskan oleh Syeikh Muhammad bin Ismail di dalam kitabnya seperti berikut:
1. Wajib diberikan (disediakan) tempat kediaman bagi perempuan yang dicerai ba’in.
2. Tidak wajib diberi nafkah dan segala bentuk perbelanjaan seperti pakaian, lauk dan lain-lain lagi kecuali mengandung mengikut pendapat yang sahih. (Lihat: Matla’ al-Badrain)
♡Penceraian walaupun dibenci namun ia disyariatkan di dalam Islam. Islam menekankan tanggungjawab suami dalam memberi nafkah terhadap isteri bukan sahaja sepanjang tempoh perkahwinan, bahkan pensyariatan ini berjalan dan dilaksanakan selepas terjadinya perceraian♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment