Tuesday, 20 May 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 23 Zulkaedah 1446H☆


یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّ ٰ⁠مِینَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَاۤءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰۤ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَ ٰ⁠لِدَیۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِینَۚ إِن یَكُنۡ غَنِیًّا أَوۡ فَقِیرࣰا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلۡهَوَىٰۤ أَن تَعۡدِلُوا۟ۚ وَإِن تَلۡوُۥۤا۟ أَوۡ تُعۡرِضُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِیرࣰا 


"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan" [Surah an-Nisāʾ 135]


#Dua orang anak Sayidina Umar al-Khattab r.a iaitu Abdullah dan Ubaidillah bermusafir. Mereka melintasi kawasan Sayidina Abu Musa al-Asyaari r.a. Ketika itu beliau menjadi gabenor di Basrah. Mereka singgah menziarahinya.


Sayidina Abu Musa meraikan mereka berdua. Beliau berkata: "Aku suka buat suatu perkara yang kamu berdua boleh ambil manfaat darinya. Aku ada harta dari harta Baitulmuslimin. Aku mahu hantarkan kepada Amirul Mukminin. Kamu berdua ambil dahulu harta ini, beli barang untuk perniagaan dari Iraq, kemudian jual di Madinah. Kamu ambil untung darinya, dan beri modal asal kepada Amirul Mukminin". 


Abdullah dan Ubaidillah melakukannya, dan mereka mendapat untung darinya.

Apabila berita tersebut sampai kepada Sayidina Umar, beliau berkata: "Adakah Sayidina Abu Musa beri modal kepada semua anggota rombongan atau untuk kamu berdua sahaja?" 


Mereka berdua menjawab: "Bahkan. Dia beri kepada kami sahaja". 


Sayidina Umar menjawab: "Dia buat begitu kepada kamu berdua kerana kamu anak Amirul Mukminin. Sebab itu dia memuliakan kamu". 


Umar meminta kedua-duanya memberi modal dan untung kepada Baitulmal. Selepas berdebat panjang antaranya dan anaknya, Ubaidillah, Sayidina Umar mengambil jalan tengah dengan mengambil modal dan separuh untung untuk Baitulmal. Separuh untung lagi untuk Abdullah dan Ubaidillah. (Lihat: Albayan al-Fasil Baina al-Haq wal Batil, Ali Fikri)


#Kisah ini menunjukkan sikap Sayidina Umar yang sangat tegas dan berprinsip dalam semua keadaan, sebagai satu sifat hebat bagi seorang pemimpin yang perlu diteladani. Sayidina Umar memahamkan kita semua bahawa harta Baitulmal ialah untuk kegunaan orang Islam. Tidak boleh dibuat dan diguna sewenang-wenangnya walaupun ianya melibatkan anak pimpinan tertinggi. 


#Sehebat mana pun kita menyayangi anak dan kaum kerabat, namun hukum syarak iaitu Allah dan Rasul perlu lebih disayangi. Maka benarlah Sayidina Umar apabila mendahulukan syarak daripada anaknya. Ia adalah tanda iman yang kuat dalam diri seseorang.


#Sepintas lalu, kelihatan tidak ada apa-apa yang kurang dalam isu ini kerana modal asal tetap dikembalikan kepada Baitulmal. Namun, cara yang dibuat oleh kedua-dua anaknya tetap tidak disenangi oleh Sayidina Umar bin al-Khattab r.a.


♡Bagi sesiapa yang mengurus dan bertanggungjawab terhadap harta Baitulmal, harta Zakat, harta Wakaf, harta negara, harta rakyat, harta awam atau harta orang ramai, maka perlu mengambil contoh dari kisah ini agar harta umat Islam dan harta orang ramai diurus dengan baik, telus, adil, amanah dan saksama serta tidak digunakan sewenang-wenangnya♡


🐊Ust Naim

*Telegram Channel*

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


*Facebook Page:*

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...