☆Tadabbur Kalamullah 22 Zulkaedah 1446H☆
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّ ٰمِینَ لِلَّهِ شُهَدَاۤءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا یَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰۤ أَلَّا تَعۡدِلُوا۟ۚ ٱعۡدِلُوا۟ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan" [Surah al-Māʾidah 8]
#Berjuang untuk menegakkan keadilan adalah perintah Allah swt. Allah akan kurniakan pahala yang besar di akhirat kelak. Balasan di dunia pula dengan disebut baik oleh manusia. Justeru, sangat penting membetulkan niat dalam menegakkan keadilan.
#Keadilan adalah prinsip kemanusiaan yang tinggi yang mesti diperjuangkan, sekalipun berbeza pendekatan yang digunakan. Dalam sejarah manusia, banyak cara digunakan untuk menegakkan keadilan, dengan melihat kepada adat resam, sosiobudaya, latar belakang masyarakat, hubungan dengan yang lain dan sebagainya.
#Contohnya, ada yang membalas dendam, kononnya untuk menegakkan keadilan. Ini pernah berlaku dalam masyarakat Arab jahiliah. Ada yang berbuat zalim terhadap orang lain, kononnya juga untuk menegakkan keadilan. Ada juga yang menurut kaedah matlamat menghalalkan cara.
#Ringkasnya, manusia melakukan pelbagai perkara, menggunakan macam-macam cara untuk menegakkan keadilan, menurut pandangan dan kefahaman masing-masing. Yang pasti, apabila keadilan dan kebenaran itu cuba diperjuangkan tetapi tidak menurut kehendak syarak, maka ia boleh bertukar menjadi kezaliman dan kekejaman yang bertentangan syarak.
#Dicatatkan, pada suatu ketika, penduduk kota Samarkand telah mengadu kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkenaan panglima pasukannya Qutaibah dan pasukan tenteranya yang telah masuk dan memerangi negara mereka tanpa memberi peringatan terlebih dahulu sebagaimana diwajibkan oleh Syariat Islam.
Amirul Mukminin kemudiannya lalu mengarahkan al-Qadhi untuk menghakimi pengaduan tersebut. Akhirnya al-Qadhi memutuskan agar pasukan Islam hendaklah keluar dari kota Samarkand. Keputusan ini memberi kemenangan kepada penduduk Samarkand.
Setelah penduduk Samarkand menyaksikan manifestasi keadilan Islam tersebut, mereka mengumumkan pengislaman mereka serta memuji sistem pengadilan Islam dan pasukan penaklukan. Mereka juga menyatakan penerimaan mereka terhadap hukum negara Islam. (Lihat: Tarikh al-Rusul wa al-Muluk)
#Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz terkenal dalam sejarah sebagai seorang khalifah yang soleh dan adil. Sepanjang tempoh pemerintahannya, keadilan yang beliau terapkan telah mencipta satu zaman pemerintahan yang gilang gemilang. Pemerintahan beliau hanya berlangsung selama dua tahun dan beberapa bulan. Namun, telah mencatat pelbagai tindakan pembaharuan yang sangat penting. Beliau juga telah memperbetulkan kembali perjalanan tadbir urus negara Islam. (Lihat: Siyar A’lam Al-Nubala)
♡Berlaku adillah nescaya rahmat Allah sentiasa bersama kita. Jangan sesekali zalim dan khianat. Umat akan hilang kekuatan, tiada kemuliaan, melainkan apabila kezaliman dicampak jauh-jauh daripada individu hingga kepada pemimpin sesebuah negara♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment