☆Tadabbur Kalamullah 21 Zulkaedah 1446H☆
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّ ٰمِینَ لِلَّهِ شُهَدَاۤءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا یَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰۤ أَلَّا تَعۡدِلُوا۟ۚ ٱعۡدِلُوا۟ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan" [Surah al-Māʾidah 8]
#Sayidina Umar al-Khattab r.a yang menjadi khalifah kedua pernah menulis kepada Sayidina Abu Musa al-Asy’ari r.a ketika Sayidina Abu Musa dilantik menjadi gabenor di Kufah dan Basrah pada tahun ke 21H.
#Surat tersebut mengandungi sekitar 20 baris muka surat kertas. Surat ini dianggap oleh para sarjana Islam sebagai dasar-dasar hukum, kesaksian, adab hakim dan mufti. Ada juga ulamak mengatakan ia dipenuhi dengan adab-adab penghakiman. Ia dibuat kajian dan pencerahan oleh para ulamak Islam, terutama dalam bidang siasah syar'iyyah, kehakiman dan pemerintahan Islam.
#Di antara isi kandungan awal surat itu ialah Sayidina Umar menyebut:
فإن القضاء فريضة محكمة و سنة متبعة
"Sesungguhnya penghakiman itu adalah kewajipan yang ditetapkan dan sunnah yang diikuti"
#Surat ini dimulakan dengan satu kenyataan tegas dari seorang pemerintah yang sangat sensitif dengan keadilan bahawa penghakiman terhadap sesuatu kes adalah perkara yang wajib dilaksanakan.
#Pelaksanaannya pula tentulah berteraskan keadilan yang telah diajar dan ditunjuk oleh Nabi saw melalui sunnahnya yang berlangsung selama 23 tahun ketika hayat Baginda dan dirujuk juga kepada al-Quran sebagai sumber wahyu terhadap semua aspek kehidupan.
#Sayidina Abu Musa al-Asy’ari r.a adalah sahabat Nabi saw. Tentunya beliau seorang yang adil, kerana kaedah menyebut:
الصحابي كلهم عدول
"Para sahabat Nabi saw semuanya adil"
#Namun begitu, Sayidina Umar tetap menulis surat ini sebagai peringatan supaya menguruskan penghakiman kes-kes yang berlaku secara adil.
#Kalau Sayidina Umar yang adil menyuruh Sayidina Abu Musa al-Asy’ari yang bersifat adil berlaku adil, maka bagaimana dengan kita? Tentunya peringatan itu lebih lagi dan perlu dinasihat berulang kali.
#Seruan menegakkan keadilan, membasmi kezaliman adalah antara tema dakwah Nabi saw. Baginda saw bersabda:
إنه لا قدست أمة لا يأخذ الضعيف فيها حقه غير متعتع (صحيح الجامع)
"Bahawa Allah tidak mensucikan umat, di mana orang yang lemah tidak dapat mengambil haknya tanpa teragak-agak" (Lihat: Sahih Jami')
#Keadilan menjadi tajuk penting dalam mesej yang dibawa oleh para nabi dan rasul. Ia juga menjadi prinsip kemanusiaan sejagat yang diperjuangkan oleh para pemimpin yang ikhlas.
#Keadilan juga menjadi kayu ukur maju atau mundur sesuatu tamadun dan umat. Ia menjadi penilai samada tamadun dan umat itu bahagia atau sebaliknya. Apabila keadilan tegak di kalangan manusia, hidup mereka aman sentosa. Hati mereka bahagia. Pemikiran mereka sejahtera. Jasmani dan rohani mereka tidak menderita. Kesan berlakunya adil ada di mana-mana dan merata-rata.
♡Sebagai umat Nabi saw, kita wajib mengikut Baginda saw, termasuk menegakkan keadilan dalam semua lapangan hidup. Berlaku adillah, moga naungan rahmat Allah menjadi milik kita di mahsyar kelak♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment