Saturday, 26 July 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 1 Safar 1447H☆


لَّا يُحِبُّ اللَّـهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَن ظُلِمَ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ سَمِيعًا عَلِيمًا


"Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui" [Surah an-Nisa’ 148] 


#Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Najih daripada Mujahid berkata sebab ayat لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ" ini diturunkan ialah kepada seorang lelaki yang tidak memberikan layanan baik kepada seorang lelaki yang melalui kawasannya, lalu diberikan kelonggaran kepada lelaki tersebut (yang tidak diberikan layanan baik) untuk berkata sesungguhnya lelaki tersebut tidak baik layanannya kepada tetamu" (Lihat: al-Jami’ Li Ahkam al-Quran)


#Ini menjadi dalil bahawa pada hakikatnya sekiranya seseorang melakukan keburukan kepada seseorang dilarang untuk kita membuka aib seseorang. Namun sekiranya kemungkaran tersebut dilakukan secara terang-terangan atau melibatkan kepentingan dan maslahat awam serta memberi peringatan dan pengajaran kepada orang lain maka kita diharuskan untuk menzahirkan kemungkaran yang dilakukan secara terbuka selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syarak. 


#Dalam Islam demonstrasi disebut dengan kalimah المظاهرات. Kalimah ini pada dasarnya di ambil daripada kata dasar تظاهر  yang bererti menzahirkan atau menyuarakan sesuatu sama ada berdasarkan kebaikan dan taqwa atau berdasarkan kepada dosa dan kejahatan.         


#Tidak ditemui secara khusus hukum demonstrasi di dalam kitab-kitab fiqh turathi atau klasik kerana ia merupakan permasalahan baru yang berlaku pada masa kini. Justeru para ulamak kontemporari telah berijtihad secara khusus berkaitan hukum ini adakah demonstrasi dibenarkan di dalam Islam atau tidak.


#Antara ulamak yang mengharuskan berdemonstrasi dengan syarat-syarat dan dawabit yang tertentu. Ini adalah pendapat yang dipegang oleh al-Syeikh Muhammad Mutawalli Syarawi’ (salah seorang ulama Besar al-Azhar, Mesir dan seorang ahli tafsir yang terkemuka), Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi (Mantan Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia), Syeikh Usamah al-Rifa’i (salah seorang Ulamak Besar di Negara Syria), Syeikh Mustafa al-Adwi, Dr. Muhammad al-Ahmari, Dr. Ati’ah Adlan, Dr. 'Ali Muhyiddin al-Qurrah Daghi dan ulamak lain yang sependapat dengan mereka. Pendapat ini turut disokong oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dan Dar al-Ifta’ Jordan.


#Antara pandangan dan hujah para ulamak yang mengharuskan adalah:


1. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan: "Adalah menjadi hak umat Islam untuk berdemonstrasi di tepi-tepi jalan untuk menuntut hak mereka kerana tuntutan yang disampaikan secara bersama lebih kuat dan didengari pemerintah dibandingkan apabila tuntutan tersebut dilakukan secara bersendirian. Dibenarkan berdemonstrasi secara aman dan dengan tujuan serta tolong-menolong pada perkara yang baik serta tidak melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh syarak".


2. Syeikh Muhammad Mutawalli al-Syarawi’ rahimahullah berkata di dalam salah satu ucapan beliau: “Adalah mereka yang berdemonstrasi dalam menuntut sesuatu hak yang dibenarkan oleh syarak dan tidak ada tujuan atau niat selain daripada itu merupakan perkara yang diharuskan. Namun begitu, sekiranya mereka telah mendapat tuntutan hak tersebut wajib ke atas mereka untuk memberhentikan serta merta perbuatan mereka kerana tujuan asal untuk menuntut hak tersebut telah didengari dan dipenuhi. Sesungguhnya tujuan dan matlamat para pendokong kebenaran ini adalah memperbaiki kerosakan yang berlaku dan bersiap sedia untuk membina sebuah negara dan kehidupan yang lebih mulia, harmoni dan sejahtera.


3. Syeikh Usamah al-Rifa’i (ulamak Syria) berkata: “Tidak terdapat nas daripada syarak yang mengharamkan demonstrasi secara aman yang tidak melibatkan kemusnahan dan kebinasaan. Oleh itu tuntutan untuk mengembalikan hak kepada mereka yang berhak adalah perkara diharuskan syarak.

♡Diharuskan demonstrasi secara aman disertakan dengan syarat-syarat dan garis panduan yang ditetapkan serta tidak melakukan perkara yang menyalahi syarak dan undang-undang negara. Wallahua'lam♡


🐊Ust Naim

Telegram Channel

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook Page:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...