Friday, 1 August 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 7 Safar 1447H☆


فَقُلۡتُ ٱسۡتَغۡفِرُوا۟ رَبَّكُمۡ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارࣰا 


"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun" [Surah Nūḥ 10]


#Istighfar atau memohon ampun kepada Allah, merupakan amalan yang sangat dituntut dalam kehidupan seorang Muslim. Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Justeru, istighfar adalah cara untuk kita mendekatkan diri kepada Allah dan memohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan.


#Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah saw bersabda: "Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampun kepadaNya, sesungguhnya aku sendiri bertaubat seratus kali dalam sehari" 


#Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya istighfar dalam kehidupan harian kita, bahkan Rasulullah saw yang maksum pun sentiasa beristighfar dan bertaubat kepada Allah sebanyak seratus kali sehari.


#Istighfar bukan hanya sekadar lafaz di bibir, tetapi ia adalah satu pengakuan kepada Allah atas kekhilafan diri, dan disertai dengan niat yang tulus untuk memperbaiki diri. Dengan banyaknya istighfar, kita memohon agar Allah menghapuskan dosa-dosa kita, melapangkan hati, dan memberikan kita ketenangan dalam menjalani kehidupan.


#Tersebut dalam sebuah hadis bahawa amalan berwudhuk sebelum tidur dapat menghapuskan dosa. Sabda Rasulullah saw:


مَنْ بَاتَ طَاهِرًا بَاتَ فِي شِعَارِهِ مَلَكٌ فَلَمْ يَسْتَيْقِظْ إِلَّا، قَالَ الْمَلَكُ : اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعَبْدِكَ فُلَانٍ، فَإِنَّهُ بَاتَ طَاهِرًا


"Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci (berwudhuk), tidur di bawah pakaiannya malaikat. Dia tidak bangun melainkan malaikat akan berkata: "Ya Allah, ampunilah hambaMu ini. Sesungguhnya dia tidur dlm keadaan suci" (Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah bin al-Mubarak dalam kitab al-Zuhd dan Ibn Hibban dalam Sahihnya. Dhaif) 


#Namun hadis ini mempunyai sokongan (syahid) daripada hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir: 


طَهِّرُوا هَذِهِ الْأَجْسَادَ طَهَّرَكُمُ اللهُ، فَإِنَّهُ لَيْسَ عَبْدٌ يَبِيتُ طَاهِرًا إِلَّا بَاتَ مَعَهُ مَلَكٌ فِي شِعَارِهِ لَا يَنْقَلِبُ سَاعَةً مِنَ اللَّيْلِ إِلَّا قَالَ: اللهُمَّ اغْفِرْ لِعَبْدِكَ فَإِنَّهُ بَاتَ طَاهِرًا


"Sucikanlah jasad-jasad kamu semua, Allah swt akan sucikan kamu semua. Sesungguhnya tiada seorang hamba yang bermalam dalam keadaan suci melainkan bermalam bersamanya satu malaikat di bawah pakaiannya. Tidak dia berubah kedudukan pada malam hari (ketika tidurnya itu) melainkan malaikat itu akan berkata: "Ya Allah, ampunilah hambaMu ini, sesungguhnya dia tidur dalam keadaan suci" (Hadis Hasan Lighairih dalam Sahih al-Targhib) 


♡Marilah kita semua memperbanyakkan istighfar dan sentiasa pastikan tidur dalam keadaan berwudhuk. Amalkanlah amalan ini berterusan agar hidup kita sentiasa diampuni, diberkati dan dilindungi oleh Allah swt♡


🐊Ust Naim

Telegram Channel

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook Page:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...