Monday, 12 August 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 8 Safar 1446H☆


 وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا


"Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa" [Surah an-Nisa’ 36] 


#Allah swt meletakkan anjuran dan tuntutan berbuat baik kepada kedua ibubapa sebaik sahaja memerintahkan kepada umat Islam untuk mentauhidkanNya serta tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu.


#Meskipun kita dituntut untuk berbuat baik dengan kedua ibubapa, namun terdapat riwayat yang melebihkan kedudukan seorang ibu berbanding bapa dalam isu berbuat kebaikan kepadanya. Ibu, insan yang perlu dibalas jasanya disamping jasa seorang bapa. 


#Jom hayati kisah jasa seorang ibu untuk kita hargai jasa seorang ibu:


Imam Ahmad bin Hanbal adalah Imam Ahlus Sunnah, jaguh hadis dan penulis ensiklopedia hadis yang dinamakan dengan Musnad Ahmad. Beliau juga merupakan pengasas kepada Mazhab Hanbali. Ayahnya meninggal ketika beliau berumur 3 tahun. Beliau diasuh oleh ibunya sejak dari kematian ayahandanya. Ibunya telah banyak memberikan tunjuk ajar dalam pembentukan syakhsiah Imam Ahmad. 


Ibunya akan mengejutkan beliau untuk solat Subuh, dan membawanya ke masjid yang agak jauh dalam keadaan sejuk untuk memastikan beliau dididik dengan solat berjemaah. Dengan bimbingan ibunya juga, beliau telah melengkapkan hafazan al-Quran semasa berumur 10 tahun. Beliau juga telah mempelajari hadis dari tokoh-tokoh ulamak hadis di sekitar Baghdad, tanah tumpah darahnya dengan pemantauan ibunya.


Tidak cukup dengan itu, akhirnya ibu beliau memberikan keizinan untuk Imam Ahmad bermusafir ke luar Baghdad untuk menuntut ilmu. Walaupun tidak disisipkan dengan wang, ibunya membekalkan beliau dengan sedikit bekal makanan. Ibunya tidak memiliki harta untuk disertakan dalam perjalanan Imam Ahmad, kerana kefakiran mereka. Sesiapa yang mengkaji biografi Imam Ahmad, pasti akan mengetahui bagaimana miskinnya hidup Imam yang agung ini.


Ibunya berpesan: "Aku serahkanmu di bawah jagaan Allah yang Maha Esa.." 


Bondanya cukup mengetahui, sesuatu perkara yang dijaga oleh Allah, ianya tidak akan hilang dan akan tiba dengan selamat di destinasi dengan izin Tuhannya. Akhirnya, bermulalah kembara Imam Ahmad menjadi seorang imam yang sangat disegani oleh umat Islam keseluruhannya. Berkat bimbingan seorang ibu tua yang menginginkan anaknya mencari ilmu untuk bekal dunia dan akhirat, akhirnya Imam Ahmad menjadi manusia yang hebat dari sudut keilmuan, kealiman dan penyebaran ilmu. Beliau terkenal hebat sehingga hari ini kerana jasa ibunya. 


#Ya Allah, Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kedua ibubapa kami, dan kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihi kami ketika kecil. Aamiiin 


♡Marilah kita sama-sama mempertingkatkan amalan berbuat baik kepada kedua ibubapa kita, lebih-lebih lagi kepada seorang ibu yang telah mengandungkan, melahirkan kita ke dunia dengan penuh jerih perih, menyusukan kita dengan penuh kesabaran serta mendidik kita menjadi manusia yang berguna♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk     

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:    

https://m.facebook.com/tadabburkalamullahl





No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...